Archive for March, 2006

Asrisme dan Hizbut Tahrir: Fenomena dakwah IPT

Assalamualaikum wbt…

pagi tadi check emel, ada satu artikel dr Ust Maslee (pensyarah UIA) yg sgt menarik untuk disebarkan… semoga artikel ni dapat membuka minda pelajar2 IPT khasnya… meskipun di zaman pelajar dikekang dengan AUKU, semoga artikel ini dpt memberi input yg positif kearah melahirkan graduan2 yg kritis dan analytical dlm membuat sesuatu penilaian….

Asrisme dan Hizbut Tahrir: Fenomena dakwah IPT

Oleh:

Maszlee Malik

Pada penghujung tahun 2005, Uthman el-Muhammady telah mengejutkan rakyat Malaysia dengan kenyataan akhbarnya berkaitan gejala "Wahabi". Fahaman yang dianggap oleh beliau sebagai bersalahan dengan faham Ahli Sunnah Wal Jamaah, telah merebak di seluruh IPT dan juga di kalangan para profesional (Lihat: Utusan Minggu, 27 November 2005).

Ada sudut kebenaran dan ada sudut kesalahan di dalam kenyataannya. Cuma yang menarik perhatian ialah sudut kebenaran dari kenyataannya ialah mengenai tersebarnya fahaman ini di kalangan para pelajar IPT dan juga para profesional.

Persoalannya, mengapa? Mengapa ianya tidak pula menjadi begitu popular di kalangan golongan yang berpendidikan rendah dan juga di kalangan orang-orang kebanyakan? Hakikat yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapapun yang mengikuti isu ini, hatta oleh Uthman el-Muhammady sendiri pun, ialah fahaman ini boleh diterima oleh golongan yang berfikir. Hanya mereka yang berfikir dan mengkaji sahaja, seperti para pelajar IPT dan profesional mampu menerima fahaman ini, adapun mereka yang malas berfikir dan hanya sekadar suka untuk mengikut secara membuta tuli tidak akan dapat menerima fahaman tersebut.

Sudut yang menarik juga dari kenyataan tersebut ialah mengenai para pelajar IPT yang menerima fahaman ini. Mungkin kerana beliau dihantui oleh fahaman ini, maka analisisnya mengenai "trend" mahasiswa Islam ini agak tidak terlalu tepat. Adakah benar faham "Wahabi" yang diikuti oleh para mahasiswa Islam di IPT-IPT ataupun ianya hanya salah satu trend yang ada di IPT di antara banyak trend-trend yang lain? Atau, adakah benar yang dikatakan faham "Wahabi" itu tersebar?

Sejarah gerakan pelajar Islam

Gerakan pelajar Islam di IPT-IPT Malaysia mula berkembang sebagai satu fenomena di penghujung 60′an dan di awal 70′an. Arus Islam pada waktu itu bersaing hebat dengan arus sosialis. Antara isu-isu yang diperjuangkan ialah persoalan kemiskinan, persoalan masyarakat, pekerjaan, keadilan sosial dan juga isu-isu luar negara (Lihat: Azizan Bahari (1995), Belia Dan Masyarakat, IKD, hal. 45-48). Pada waktu itu, mantan TPM Malaysia, Anwar Ibrahim dengan wadah PKPIM dan ABIM yang disertainya merupakan satu fenomena. Tahun-tahun 70′an menyaksikan Anwarisme melanda IPT-IPT tempatan. Fenomena ini berterusan sehingga Anwar memasuki UMNO pada tahun 1982 dan juga selepas Revolusi Islam Iran pada tahun 1979. Kehebatan gerakan pelajar di waktu tersebut telah memaksa kerajaan perikatan pada waktu itu untuk menggubal AUKU pada tahun 1971 dan juga pindaannya pada tahun 1975 (Lihat: Warkah Anwar (2004), susunan Zunar, Bab 4, hal. 290-303; juga lihat: A. Rahman Abdullah (1997), Pemikiran Islam di Malaysia, Jakarta: Gema Insani Press, hal. 226-230) .

Di luar negara pula, tahun-tahun 70′an dan awal 80′an menyaksikan fenomena IRC (Islamic Represantative Council) di UK dan juga pengaruhnya yang merebak ke AS. Gerakan yang membawa faham "Ikhwan al-Muslimin" Mesir dan juga "Jamaat Islami" Pakistan ini telah berjaya membawa para pelajar Malaysia daripada keseronokan dunia dan juga berpoya-poya kepada kesedaran Islam dan dakwah. Nama Abu Urwah (Saari Sungip) merupakan nama yang tidak asing lagi kepada para pelajar Islam yang terlibat dengan gerakan dakwah ala-Ikhwan atau IRC ini. Buku-buku tulisan beliau di dalam siri "Risalah Usrah" menjadi rujukan wajib di dalam sel-sel usrah di samping buku-buku tulisan pimpinan Ikhwan seperti Hassan al-Banna, Fathi Yakan, syed Qutb dan Mustafa Mahsyur. Kebanyakan buku-buku tersebut diterjemahkan oleh ustaz-ustaz pro Ikhwan atau IRC telah diterbitkan oleh Pustaka Salam. Fenomena IRC ini sedikit sebanyak telah merebak di IPT-IPT tempatan seperti di ITM, UM dan beberapa IPT yang lain (Zainah Anwar (1987), Islamic Revivalism in Malaysia: Dakwah Among The Students, KL: Pelanduk Publication, hal. 27-30).

Revolusi Islam

Iran dan kemasukan Anwar ke dalam UMNO juga telah menyaksikan kemunculan gelombang baru di dalam senario dakwah Islam di IPT. PAS (Parti Islam SeMalaysia) yang telah dipimpin oleh Allahyarham Yusuf Rawa telah membawa gelombang "Kepimpinan Ulama" telah melangkah dengan rentak yang baru. Gabungan di antara fikrah Ikhwan al-Muslimin dan juga semangat Revolusi Islam Iran di dalam PAS telah membentuk satu fenomena baru bagi para pelajar Islam di IPT-IPT tempatan. Penyertaan para ustaz-ustaz dan para orator yang kebanyakannya mantan pimpinan pelajar di tahun-tahun 70′an telah merancakkan lagi pengaruh PAS di IPT-IPT. Fenomena Haji Hadi telah melanda IPT-IPT pada waktu itu. Anwarisme telah ditenggelami oleh Hadisme, terutamanya di kalangan para pelajar pro-PAS. Persatuan-persatuan Mahasiswa Islam di IPT-IPT telah dijadikan wadah bagi PAS untuk mengembangkan dakwah dan dominasi mereka di dalam senario amal Islami di kampus-kampus pada penghujung 80′an sehingga pertengahan 90′an (Lihat: Farish Noor (2004), Islam Embedded, KL: MSRI, vol. 2, pg. 329-336). Antara isu yang diperjuang pada waktu ini ialah isu negara Islam dan juga isu Hudud. Fenomena al-Arqam walaupun wujud dan melanda IPT-IPT, namun kewujudan mereka tidaklah sehebat fenomena PAS dan Hadisme.

Tahun 1998 telah menjadi tahun keramat bagi gerakan mahasiswa Islam di IPT-IPT di Malaysia. Dato Seri Anwar Ibrahim telah dipecat dari kerajaan BN. Pemecatan orang nombor dua negara pada waktu itu telah ditafsirkan sebagai penjelmaan wajah sebenar UMNO yang tidak inginkan Islam. Anwar yang dilihat sebagai pejuang agenda Islam dan penerus agenda gerakan siswa Islam di peringkat Nasional dan di alam politik telah dipecat keana perjuangannya. Gerakan-gerakan mahasiswa Islam di IPT-IPT tanah air dan juga para pelajar Malaysia di luar negara seakan mendapatkan roh baru untuk bersatu dan berganding bahu setelah puas bergaduh sesama sendiri lebih satu setengah dekad. Sekali lagi Anwarisme melanda, walaupun pada waktu tersebut Anwar telah dipenjarakan. Refomasi, GERAK, dan juga Barisan Alternatif telah menjadi wadah untuk menyatukan para mahasiswa Islam pada waktu tersebut. Di waktu ini, isu rasuah, kronisme, nepotisme, salah laku dan juga keadilan sosial telah menjadi agenda gerakan Islam di IPT-IPT. Keadaan ini telah dilihat oleh kerajaan BN sebagai ancaman, maka selepas pilihanraya 1999 kerajaan telah mengambil 1001 langkah untuk mengelakkan arus gerakan pelajar daripada terus menggugat status quo mereka.

Milleneum yang baru pula telah menyaksikan gerakan dakwah siswa di IPT-IPT tempatan menjadi lesu. Pilihanraya kampus yang sering menjadi medan untuk mereka luaskan pengaruh dan memperjuangkan agenda juga telah direncanakan supaya tiada arus Islam yang akan dapat menguasainya. Para pelajar IPT di mileneum yang baru lebih diserikan dengan acara-acara hiburan, maksiat dan juga kelesuan di dalam akademik. Edisi siasat NTV 7 yang telah memaparkan gejala maksiat oleh para pelajar IPT tempatan sudah cukup membuktikan bagaimana berjayanya polisi-polisi yang telah dirancanakan untuk melemahkan gerakan siswa. Kelesuan gerakan pelajar Islam hanya akan membawa kepada kelesuan moral dan juga meningkatanya gejala maksiat dan hendonisme di kalangan mahasiswa. Walau bagaimanapun arus dakwah masih lagi tetap berjalan meskipun tidak serancak dahulu. GAMIS, PKPIM, Karisma, ISMA, Haluan, Tabligh, Rufaqa dan beberapa gerakan dakwah IPT masih berjalan demi meneruskan usaha Amar Maruf Nahi Munkar di IPT-IPT. Kewujudan mereka di IPT-IPT telah menyumbang kepada kurangnya budaya Hendonisme, dan juga sedikit sebanyak membantu pencapaian akademik para anggota gerakan-gerakan tersebut.

Asrisme

Di sebalik mendung yang melanda gerakan siswa Islam di IPT yang bertunjangkan idealisme haraki, muncul fenomena baru. Revolusi internet dan juga dunia globalisasi telah menjadikan para islamis dan pecinta Islam semakin maju di dalam bidang pemikiran. Jika dahulu, kebanyakan para Islamis hanya cenderung dengan retorik dan juga ceramah yang berapi-api, kini kebanyakan mereka menjadi semakin matang. Begitu juga halnya di dalam persoalan mengamalkan Islam. Persoalan ilmiah, hanya mengambil Islam dari sumber yang sahih serta pengamalan Islam yang benar serta terbuka telah menjadi satu metod baru di kalangan pecinta Islam. Para pecinta Islam di kalangan siswa IPT, samada di dalam dan luar negara menjadi lebih kritis, lebih ilmiah dan juga lebih bijak. Tidak seperti para Islamis terdahulu yang lebih berkiblatkan pondok-pondok dan juga penganggungan para Tok guru seraya bertaklid dengan mereka secara membuta tuli. Para Islamis milleneum baru lebih bijak di dalam beragama.

Kesedaran dan juga trend sebegini telah mengundang fahaman "Salafiyyah" yang juga digelar sebagai Wahabi oleh mereka yang anti terhadap fahaman tersebut. Fahaman yang menyeru agar umat Islam kembali kepada ajaran Islam yang sebenar bersumberkan al-Quran dan sunnah serta suci dari sebarang bid’ah dan khurafat. Faham ini juga amat mementingkan keaslian sumber terutamanya di dalam bidang aqidah dan ibadat. Konsep ilmiah seperti ini telah berjaya menambat hati para cerdik pandai semestinya.Hadis-hadis yang palsu dan dulunya sentiasa berlegar di bibir masyarakat telah berjaya dibongkarkan. Cerita-cerita Israeliyyat yang menjadi jampi pelaris para penceramah selebriti dan dijadikan candu kepada masyarakat yang jahil telah berjaya dikenal pasti oleh pendokong fahaman ini. Segala amalan bid’ah dan khurafat yang bukan dari ajaran Islam yang murni tetapi diamalkan secara meluas oleh masyarakat telah berjaya dibuktikan kesalahannya oleh fahaman ini. Tidak hairanlah mengapa para cerdik pandai serta para pelajar IPT lebih berminat dengan ajaran ini. Setiap perkara perlu ada dalilnya, setiap dalil perlulah sahih, setiap kesahihan perlu ada buktinya. Bukankah itu saintifik dan lebih ilmiah.

Sewaktu inilah muncul seorang anak muda graduan Jordan. Dengan membawa fahaman Salafiyyah ala Dr Yusuf al-Qaradawi yang serba moderat dan juga metod muhaddithin ala al-Albani, Dr Asri Zainal Abidin telah berjaya memikat pemikiran para pelajar IPT selain daripada para profesional. Literatur-literatur aliran Salafiyyah yang mula membanjiri pasaran hasil tulisan Ust Abdullah al-Qari, Ust Rasul Dahri, Hafiz Firdaus dan buku-buku terjemahan serta usaha orang-orang terdahulu telah memberikan satu momentum kepada anak-anak muda di IPT-IPT tempatan dan luar negara untuk bersetuju dengan pendekatan yang dibawa oleh Dr Asri. Kepetahan beliau berhujah, pengguasaannya terhadap ilmu hadis ala al-Albani, dan juga kesederhanaan di dalam persoalan hukum ala-Qaradawi telah menjadi modal untuk Dr Asri disetujui oleh kebanyakan siswa-siswa dan siswi-siswi di IPT-IPT. Keupayaan beliau untuk menonjolkan kebatilan dakwah Astora lewat dua debatnya bersama penulis yang amat tidak disukai oleh para Islamis dan pecinta dakwah itu telah melonjakkan lagi pemikiran beliau. Kini apa sahaja seminar dan juga seminar, pasti nama Dr Asri akan menjadi penyerinya. Kuliah-kuliah beliau di Lembah Klang dan juga Pulau Pinang menjadi buruan pecinta ilmu dan pendokong aliran Salafiyyah. Kaset-kaset ceramah dan kelas-kelas pengajian beliau, CD, VCD dan juga buku-buku tulisannya menjadi rujukan para Islamis di IPT. Asrisme merupakan fenomena gerakan pelajar Islam di IPT pasca refomasi.

Asrisme agak berbeza dengan fenomena-fenomena sebelum ini. Seperti juga Amr Khalid di kalangan warga Arab, Dr Asri bukanlah berdakwah untuk kepentingan politik, dia juga tidak membawa agenda kepartian dan kejamaahan. Dia hanya ingin membawa masyarakat agar menghayati Islam yang sebenar dan juga bersifat ilmiah di dalam mengamalkan Islam. Terbukti, kebanyakan pelajar-pelajar IPT yang mengikuti arus Asrisme bersikap kritis dan mengkaji. Bayangkan, antara anak-anak murid penulis yang mengambil jurusan perubatan, Kejuruteraan, Ekonomi dan juga bidang-bidang bukan agama, telah mengenali darjat-darjat hadis, mengenali para sahabat, para ulama dan para perawi hadis serta kitab-kitab rujukan yang silam. Ini semua hasil positif Asrisme. Sayangnya, Asrisme ini dicemburui dan juga dimusuhi oleh sesetengah golongan yang tidak bersetuju samada dengan faham Salafiyyah mahupun dengan individu Dr Asri itu sendiri. Mungkin juga peranan pengkagum Asrisme yang terlalu agresif dan tidak menghormati pendapat orang lain telah menyumbang kepada perkara seumpama itu. Yang pentingnya, Asrisme merupakan satu fenomena di IPT-IPT sekarang ini!

Hizbut Tahrir

Di satu ruang yang lain pula muncul fenomena gerakan Hizbut Tahrir (HT). Dari Johor Baharu sehinggalah ke masjid-masjid di Perlis dan Kelantan, risalah terbitan kumpulan yang bernama Hizbut Tahrir ini dapat dirasai. "Soutun Nahdah", menjadi alat propaganda gerakan HT ini untuk menerangkan kepada masyarakat pendapat mereka (yang dikatakan sebagai pendangan Islam) terhadap isu-isu semasa. Isu hari pekerja, tahun baru, kapitalis, riba, demokrasi, Islam Liberal dan pelbagai lagi isu lain telah mereka sikapi dan diterangkan kepada masyarakat melalui risalah-risalah tersebut.

Sebelum refomasi di Indonesia HT bukanlah sebuah gerakan yang dapat dirasakan kewujudannya, samada di Malaysia mahupun di Indonesia. Sejurus selepas berlakunya refomasi di Indonesia, demokrasi yang subur telah memberikan peluang kepada HT untuk bergerak bebas dan melebarkan dakwah mereka. Bagaikan cendawan selepas hujan mereka berjaya merekrut anggota-anggota baru di IPT-IPT serata Indonesia. Di dalam siri-siri demonstrasi di Jakarta, mereka pasti akan muncul. Risalah-risalah, literatur-leteratur mereka mula membanjiri toko-toko buku di sana. Begitu juga halnya seperti di Malaysia, mereka segera menyikapi apa sahaja isu yang timbul dengan menyatakan pandangan HT yang dianggap sebagai pendangan Islam mengenai isu-isu tersebut. Pendekata HT adalah satu fenomena.

HT menjadikan perjuangan mereka adalah usaha untuk mengembalikan kehidupan Islam yang sebenar di dalam masyarakat Islam. Kehidupan Islam di dalam masyarakat Islam menurut HT hanya akan dapat dilaksanakan apabila semua sistem-sistem Islam dijalankan di dalam kehidupan masyarakat dan bukannya secara juzuk-juzuk. Untuk menjalankan kesemua sistem-sistem Islam tersebut, maka penegakan semula sistem Khilafah dengan kewujudan seorang Khalifah yang memerintah umat Islam wajiblah diadakan (Lihat: Taqiyudin al-Nabhani (1994), al-Syakhsiyah al-Islamiyyah, Beirut: Dar al-Ummah, jil. 2, hal. 18-20). Demi menegakkan semula sistem khilafah metod "nubuwwah" wajib diikuti dan bukannya melalui metod-metod ciptaan manusia. Metod "nubuwwah" pada fasa permulaannya adalah dengan "peperangan pemikiran" di antara pemikiran Islam dengan ideologi-ideologi Kuffar. HT tidak menerima demokrasi sebagai cara untuk mendirikan sistem khilafah kerana ianya adalah ideologi kufur dan bertentangan dengan Islam (Lihat buku tulisan Dr Mahmud al-Khalidi (1983), Qawa’id Nizam al-Hukm, Jordan: Maktabah al-Muhtasib, hal. 37-58). Inilah hasil ide penubuh HT, Syeikh Taqiyyudin al-Nabhani, seorang ulama dari Palestin. Inilah juga dakwah HT di serata dunia.

HT, walaupun muncul di Jordan, namun ianya diharamkan di negara berkenaan. Begitu juga halnya di Iraq dan kebanyakan negara-negara Arab dan segelintir negara-negara Eropah. Mereka bergerak subur di UK kerana sistem demokrasi yang diamalkan di UK. Seperti halnya di UK, HT juga berkembang di Indonesia pasca refomasi. Pada waktu itu jugalah HT mula merebak ke Malaysia. Di peringkat awalnya, kewujudan HT hanya dapat dirasakan di alam maya lewat milis-milis dan juga laman web-laman web sahaja. Kemudiannya mereka muncul dengan menggunakan wadah Forum Islam Nusantara yang banyak menganjurkan forum-forum, wacana-wacana ilmiah di IPT-IPT sahaja. Tahun 2005 menyaksikan bagaimana faham HT telah dapat dirasakan di IPT-IPT terutamanya di Lembah Klang. HT juga telah didaftarkan sebagai sebuah NGO dan mendapat ruang yang lebih luas lagi untuk menyebarkan dakwah mereka terutamanya di dalam usaha memberikan kefahaman kepada umat mengenai sistem-sistem Islam. Kedengaran di forum-forum dan juga wacana-wacana yang dianjurkan di IPT-IPT dan juga di sesetengah tempat slogan "mengembalikan sistem khilafah" di atas inisiatif HT. Kesimpulannya, HT merupakan satu fenomena juga di IPT-IPT dewasa ini selari dengan arus Asrisme.

Ke mana seterusnya?

Fenomena Asrisme dan HT di IPT-IPT sememangnya sesuatu yang menarik. Mungkin ada sesetengah golongan yang melihat apa yang berlaku sebagai satu kekecohan dan juga perpecahan di dalam arena dakwah kampus. Ini merupakan pemikiran lapuk. Penulis melihatnya dari sudut yang positif. Pertumbuhan pemikiran-pemikiran Islam di IPT-IPT, malah di tengah-tengah masyarakat membuktikan bahawa masyarakat tersebut masih lagi cintakan Islam dan masih lagi berfikir. Kemunculan pemikiran-pemikiran dakwah seperti ini amat-amat diperlukan terutamanya untuk mengimbangkan arus hendonisme dan juga arus liberal yang semakin menggila di Malaysia dewasa ini. Kehadiran Asrisme dan juga HT akan lebih merancakkan lagi suasana dakwah kampus, selagi mana semua pihak memahami "Ummah Centric" dan juga "Abad al-Ikhtilaf".

Kehadiran dua fenomena baru ini sewajarnya menjadikan para pendakwah kampus bersikap lebih terbuka dan berusaha untuk mencari titik pertemuan dan bukanlah ruang perpecahan. Jika dilihat pun selain dari dua fenomena baru ini, gerakan-gerakan dakwah kampus kebanyakannya berpaksikan sumber fikrah yang sama, iaitu "Ikhwanic centric" (bersumberkan fikrah Ikhwan al-Muslimin). GAMIS yang mewakili PAS, PKPIM yang mewakili ABIM, Karisma yang mewakili JIM, SISMA yang mewakili ISMA, Haluan yang mewakili Kumpulan Ustaz Dahlan (dulunya dikenali sebagai ABIM Utara atau ABIM Perlis) kesemuanya berpaksikan pemikiran Ikhwan. Sudah tentu mereka yang berkongsi nasab yang sama lebih mudah untuk menemukan kesefahaman.

Kesilapan Islamis kampus terdahulu yang sering berbalah dan bertelagah sesama sendiri perlulah dijauhkan dan dijadikan pelajaran agar tidak diulangi lagi. Keikhlasan, sikap tawaduk serta keterbukaan pemikiran adalah amat penting. Untuk mencapai tujuan kesatuan, -jika tidak pun, cukuplah sekadar menghormati di antara satu sama lain- paradigma "Amal Jama’i" yang difahami oleh jamaah-jamaah dan gerakan-gerakan Islam di IPT selama ini perlulah di"up grade"kan kepada "Amal Tajammu’i". Apakah "Amal Tajamu’i"?, kita akan membincangkannya kemudian. Yang lebih penting juga, setiap jamaah, setiap kumpulan dan setiap individu yang cintakan Islam perlulah melakukan usaha dakwah di IPT secara intensif dan tidak kenal penat, tidak kiralah samada mereka berjamaah ataupun tidak, dan tidak kiralah jamaah apa pun yang dia anggotai. Insha Allah, satu hari nanti kita akan sama-sama menyaksikan perlaksanaan semula Syariat Islam di muka bumi Malaysia, mungkin di tahun 2020, siapa tahu?

Saat teringatkan bonda..

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah kerna diriku masih lg bernyawa dan diberi nafas utk brnyawa dibumi yg fana ini.. moga2 baki umur yg ade ini dpt diisi dengan hal2 yg yg diredhaiNya, ameen…

bangun pg badan rase segar je arini dan demam pun dan beransur.. pagi2 siap2 gi office, industrial training dah nak habis tnggal bberapa minggu je lg… tak sabar rasenya nk balik kampung brjumpa dgn bonda yg tercinta.. sedang igtkan bonda kt kampung sambil check emel ade satu emel yg cukup menyentuh hati ini, entah siapa yg hantar emel berisi cerpen yg begitu tersentuh hati ni membacanya…

sebuah cerpen yg mengisahkn seorg bonda dgn anaknya… sekadar berkongsi cerita, sama2 la kita menghayati cerpen dibawah ni ye… 

Cerpen Adik

"“mak, Kenapa adik tak ada ayah? Kenapa ayah tinggalkan adik?”

Emak bingung, soalan itu sering adik ungkapkan. Macam mana emak nak jawab. Adik faham ke kalau emak katakan yang emak dan ayah dah berpisah dan ayah dah kahwin lain. Nanti adik mesti tanya Kenapa emak dan ayah berpisah? Kenapa emak dan ayah Ee tak berpisah? Kenapa emak dan ayah Najlah tak berpisah? Kenapa emak dan ayah Fifi pun tak berpisah? Kenapa mesti emak dan ayah adik berpisah?
Emak usap kepala adik.

“adik, ayah tak tinggalkan adik, ayah ada, satu hari nanti ayah balik..” emak pujuk adik lembut-lembut. Adik senyum, tak sabar rasanya nak menunggu ‘satu hari’ itu. Selama ingat adik, adik Cuma lihat wajah ayah di gambar yang tergantung dibilik emak. Penat adik menggelamun, akhirnya adik terlelap.

Sedar saja adik dengar laungan azan subuh. Merdu dan mendayu-dayu. Adik bingkas bangun. Lama adik termenung.
“sedapnya…satu hari nanti adik pun nak nyanyi nasyid macam tu..” adik tersengih dibelakang emak yang sudah siap bertelekung.
“itu bukan nasyid sayang, itu azan, laungan untuk menyeru semua umat islam menunaikan solat”, emak membetulkan pengetahuan adik.
Emak memimpin adik ke bilik air. Emak mengajar adik berwuduk. Mula-mula adik kena basuh tangan. Moga-moga dosa-dosa kecil yang dilakukan oleh tangan gugur bersama air sembahyang. Lepas tu adik berkumur dan begitulah seterusnya.

Adik cari telekung, nak pakai cantik-cantik macam emak pakai. Emak tersenyum, tapi adik lelaki..
Emak mengajar adik bersolat. Bila selesai, adik tersenyum.
“mak, mesti Tuhan sayang kat adik

kan

?” emak menggangguk.
“mesti lepas ni Tuhan bagi balik ayah kat adik

kan

?” emak mengangguk lagi. Adik tersenyum puas. Wahh..Tuhan sayang kat adik, Tuhan tak sayang kat Ee, Tuhan tak sayang kat Najlah, Tuhan tak sayang kat Fifi. Tuhan sayang kat adik seorang saja. Adik tersenyum bangga.

Pagi itu, seperti biasa adik ikut emak menjaja kuih. Keliling kampung adik berjalan mengikut emak. Ketika emak berhenti di kedai Long Gayah meletakkan kuih muih, adik berlari mendapatkan Ee, Najlah dan Fifi yang sedang bermain di tepi longkang.
“nak main jugak,” adik tersengih menegur kawan-kawannya.
“boleh, tapi kami main rumah-rumah. Najlah jadi emak, Fifi jadi kakak.Adik jadi ayah ye..” Najlah memberi cadangan.
Adik tersengih dapat jadi ayah. Tapi macam mana nak jadi ayah, Adik tak tau apa peranan ayah.

“tak boleh…tak boleh..Adik tak boleh jadi ayah, sebab Adik tak ada ayah. Biar Ee jadi ayah, Ee ada ayah..”, Ee mula memberontak.
Adik sekadar menggangguk. Jauh disudut hatinya, Adik sedih. Adik nak menangis, tapi cepat-cepat Adik teringat, pagi tadi Adik solat subuh, Tuhan sayang kat Adik, Tuhan tak sayang kat Ee.
“Adik jadi mamak roti, sebab Adik hitam macam mamak roti,” Ee memberi cadangan.
“Adik tak mahu jadi mamak roti, Adik nak jadi orang laung azan”.
“mana boleh!” Ee memberontak. Ee tolak Adik. Bedebukkk!! Adik jatuh ke tanah. Adik tak mengalah, Adik bangun tolak Ee kuat-kuat. Bedebukkk!!! Ee jatuh. Ee menangis teresak-esak.
“Ee bagitau kat ayah!” Ee gertak Adik. Adik diam. Adik nak bagitau siapa? Adik hanya boleh bagitau emak, tapi emak Adik tak boleh lawan ayah Ee. Ayah Ee kuat.
“Adik bagitau mak!” Adik melawan.
“ayah Ee kuat, mak Adik tak kuat!” Ee mengamuk
“Adik Bagitau Tuhan! Mak kata Tuhan kuat tak ada siapa boleh lawan Tuhan!” Adik berlari meninggalkan Ee termanggu sendiri.

Adik menangis teresak-esak.
“Kenapa?” soal emak lembut.
“mak, Kenapa adik hitam macam mamak roti?”
“mana ada hitam, kulit adik

kan

sama macam kulit mak.., kalau Adik hina kulit Adik maknanya Adik hina kulit emak juga, Tuhan marah tau..” Emak memujuk Adik. Memanglah kulit Adik macam kulit emak sebab emak, emak Adik dan Emak bukan orang melayu, Emak orang bangsa lain. Emak tinggalkan keluarga dan amalan nenek moyangnya demi sayangkan ayah. Sebab itu, emak tak pernah membenci ayah biarpun ayah meninggalkan emak sendiri. Kerana ayahlah, emak kenal agama Islam. Kerana ayahlah emak kenal Allah. Kerana ayahlah emak keluar dari kegelapan. Dan kerana ayahlah, emak ada Adik. Biarlah ayah tinggalkan emak tapi emak tidak akan meninggalkan Allah. Allah Yang Satu.

“mak, Kenapa Adik tak ada ayah?”
Emak pening. Soalan itu lagi diulang-ulang. Emak Cuma diam merenung tanah.
“Adik..,” Long Gayah menghampiri Adik dan Emak.
“ walaupun Adik tak ada ayah, tapi Adik ada emak, betul tak?, Emak boleh jaga Adik lebih baik dari ayah Ee jaga Ee,

kan

??”, Long Gayah pujuk Adik. Airmata Adik disapu. Wajah Adik dielus lembut. Kepala adik diusap penuh kasih sayang.
“mungkin kalau Adik ada ayah, Adik tak ada emak. Mana satu adik nak”, Long Gayah sambung lagi.
“Adik nak dua-dua sekali”, jawab Adik tersekat-sekat.
Long Gayah terdiam. Tak tau nak jawab apa lagi. Adik ternganga menanti jawapan Long Gayah.
“Adik tau ayah tak sayang Adik, tapi Adik tau Tuhan sayang Adik sebab Adik sembahyang subuh pagi tadi,

kan

Long?”
Long Gayah mengangguk. Tersenyum dengan linangan airmata. Berlinang airmata mengenangkan Adik, anak kecil yang terlalu rindukan kasih ayah. Mengenangkan emak, saudara baru yang ditinggalkan terkontang-kanting menempuh ranjau hidup sendirian. Mengenangkan segala-gala rencah hidup manusia zaman sekarang. Memikirkan bagaimana agaknya emak akan membesarkan Adik untuk menjadi seorang muslim sejati.

“Adik nak balik, Adik nak sembahyang subuh lagi, nak sembahyang banyak-banyak kali, biar Tuhan sayang Adik banyak-banyak.” Lamunan Long Gayah terhenti dengan suara kecil Adik. Long Gayah ketawa kecil dengan teletah Adik. Adik mengheret tangan emak. Nak balik rumah lekas-lekas.
Sedang Adik dan emak mahu melintas jalan, sebuah kereta menderu laju memintas lalu berhenti betul-betul dihadapan emak dan Adik. Adik kaget. Emak memeluk Adik erat-erat. 3 lelaki berkulit lebih kurang emak keluar dari kereta. Dengan wajah garang, suara garang dan segala-gala garang, 3 lelaki berkulit lebih kurang emak mengheret emak masuk ke dalam kereta. Emak menjerit dan meronta dengan bahasa yang adik tak faham. 3 lelaki itu juga turut bercakap dalam bahasa yang adik tak faham sepatah haram. Dengan kudrat yang ada, emak melawan bersungguh-sungguh. Adk menangis dalam pelukan emak. Rangkulan emak makin erat. Raungan Adik semakin kuat. rasa takut, marah dan benci dengan 3 lelaki itu menyerang seluruh jiwa Adik. Allah Maha Penyayang.

Ketika itu Adik nampak Long Gayah berlari keluar dengan batang penyapu ditangannya. Ayah Ee turut serta sambil menggenggam parang panjang. Dibelakangnya diikuti beberapa orang pakcik yang sedang makan digerai Long Gayah.
Apalagi, 3 lelaki berbahasa pelik itu membuka langkah seribu meninggalkan emak terjelepok ditanah. Emak menangis teresak-esak. Merintih-rintih dalam bahasa yang Adik tak faham. Adik menendang-nendang angin melepaskan geram pada lelaki yang menyebabkan emak bertukar bahasa itu. Hampir sejam emak mengumpul kudrat untuk pulang ke rumah.
Adik tanya emak siapa lelaki berbahasa pelik itu. Tapi emak tak jawab. Long gayah tanya, emak jawab pula. Emak kata mereka mahu emak balik. Balik ke mana? Balik ke pangkuan keluarga dan amalan asal nenek moyang emak. Mereka mahu emak meninggalkan cahaya Allah. Emak bertekad tidak akan meninggalkan agama Allah. Tidak akan meninggalkan cahaya Allah yang sentiasa menyinari hidup emak.

“kalau ada ayah, mesti ayah lindungi kita

kan

emak..,” Adik merungut lagi.
“Tak apa Adik, Allah ada, Allah akan lindungi kita, Allah lagi kuat dari ayah”
Adik menggangguk lemah. Emak merangkul Adik dengan penuh kasih sayang.
“Adik, biarlah kulit kita hitam, asalkan hati kita putih
Adik, biarlah hidup kita miskin, asalkan amal ibadat kita kaya
Adik, biarlah ayah tak sayangkan kita, asalkan Allah sentiasa kasihkan kita..”
Adik terlelap dipangkuan emak.

“Adik..bangun”, Adik terkejut apabila emak menepuk-nepuk tubuh adik. Kenapa emak kejut Adik? Adik tak dengar pun azan subuh. Yang adik dengar hanyalah bunyi pintu kayu rumahnya diketuk bertalu-talu. Emak mencium Adik bertalu-talu, kelam kabut Emak menolak tubuh adik masuk ke bawah katil. Berkali-kali Adik tanya Kenapa, tapi emak tidak menjawab. Emak pesan kepada Adik supaya tidak keluar selagi Emak tak panggil. Adik menggangguk.
Selepas itu, Adik tak nampak apa yang berlaku. Yang Adik dengar hanyalah suara lelaki bercampur baur dengan tangisan emak. Sekali lagi mereka berbicara dalam bahasa yang Adik tak faham. Yang Adik dengar hanyalah suara Emak menyebut kalimah Allah. Itu sahaja yang Adik faham.
“Allah..Allah..Allah…” emak terus menyebut kalimah itu biarpun suara lelaki berbahasa pelik itu menjerit menenking kepada emak. Emak terus menyebut kalimah suci itu tanpa rasa gentar.
Adik menggigil dibawah katil. Adik nak keluar, nak tengok apa yang berlaku pada emak. Nak tolong emak. Adik

kan

lelaki! Tapi Adik ingat pesan emak. Adik perlu patuh kepada emak, kalau tidak Tuhan marah.
“Allahuakbarrr!!!!!!!!!!!!” suara jeritan emak memecah suasana. Adik menggigil lagi. Adik

cuba

mengamati apa yang berlaku.
“Allah…Allah…Allah..” kalimah suci itu kedengaran semakin perlahan. Lama kelaman Adik tak dengar lagi kalimah itu. Suara emak telah terhenti. Begitu juga suara lelaki-lelaki berbahasa pelik. Kenapa emak diam? Adik terus menunggu emak memanggil Adik keluar. Menunggu dan terus menunggu.
Sehinggalah, laungan azan subuh kedengaran. Adik serba salah. Tapi Adik perlu keluar untuk sembahyang subuh supaya Allah sayang Adik. Mahu tak mahu, Adik merangkak keluar. Ketika Adik teraba-raba, tangan Adik tersentuh cecair. Adik diam. Seingat Adik, Adik tak tumpahkan air semalam. Adik tersengih, mungkin adik kencing malam. Habislah emak marah Adik. Adik merangkak berhati-hati.
Tatkala adik mengangkat kepala, Adik kaget lagi. Didepannya, tubuh emak kaku berlumuran darah dengan pisau panjang tercacak didadanya. Namun Al-Quran di tangan emak, tetap erat digenggamannya.
Dunia Adik terasa berpusing, gelap.masa terhenti. Emakkkkk!!!!!!!
Laungan Adik memecah keheningan subuh.

“Adik, biarlah kulit kita hitam, asalkan hati kita putih
Adik, biarlah hidup kita miskin, asalkan amal ibadat kita kaya
Adik, biarlah ayah tak sayangkan kita, asalkan Allah sentiasa kasihkan kita..”

Selepas ini tak ada lagi emak yang akan wudukkan Adik. Tak ada lagi emak yang akan bentangkan sejadah untuk Adik. Tak ada lagi emak tempat Adik mengadu dan tak ada lagi emak, satu-satunya manusia dalam hidup Adik. Adik memandang sayu pusara emak melangkah longlai meninggalkan harum seroja yang seharum kasih emak pada Adik.

source: from fowarded emel

Warkah Buat Teman

Warkah Buat Teman

Teman,
Atas tautan ukhwah
Juga atas satu dasar yang kukuh
Nan Aqidah Muslim,
Aku melayangkan warkah ini buatmu teman..
Wahai temanku an nisa
Engkau sedia maklum,
Engkaulah hiasan dunia,
Lantaran fitrah itu,
Engkau seringkali menjadi fitnah lelaki itu,
Dan sememangnya itu bukan kesalahanmu,
Tetapi itulah hakikat kejadianmu..

Wahai temanku arrijal,
Aku mengetahui kesepian hati seorang lelaki,
yang seringkali mengimpikan seorang teman di sisi,
Dan tentulah temanmu yang diimpi,
Seorang serikandi..
Wahai temanku an-nisa
Aku mengetahui halusnya perasaanmu,
Engkau ingin disayangi,
ingin dimanjai,
Engkau juga ingin menyayangi
juga ingin memanjai..
Dan aku juga tahu,
Temanmu arrijal juga begitu..

Tetapi temanku an-nisa
Ketahuilah engkau,
Bercinta itu fitrah,
Tetapi janganlah engkau cemarkannya dengan fitnah.
Kalau benar engkau mengasihinya,
kasihinyalah kerana Pencipta Fitrah,
Dan jika engkau benar mengasihinya
KeranaNya,
Engkau tak kan bisa,
Melunakkan soutul engkau,
Engkau tidak kan bisa,
Melemparkan panahan menggodamu,
Kerana engkau tahu,
Itu bisa menggoyahkan iman seorang arrijal!
Dan engkau mengetahui,
Dia punya 9 akal, dan 1 nafsu,
Namun nafsu itu sentiasa beraja,
Dan engkau tidakkan bisa menjadikan sang nafsu itu,
Nafsu raja yang menggila!
Kerana engkau tahu sahabatku an nisa
Dia kan terjerumus ke dalam api yang membara
Andai dia menjadi hamba raja nafsu yang gila..
Adakah benar engkau mengasihinya keranaNya?

Wahai temanku arrijal
Andai engkau mencintainya,
Cintailah ia keranaNya,
Letakkan lah Ia melebihi cintamu kepada dia,
Andai engkau mengasihinya keranaNya,
Engkau tidakkan bisa,
Mengajaknya bermukah di taman sepi,
Kerana engkau tahu,
Dia punya 9 nafsu, 1 akal,
Tetapi manakan mampu 1 akal menguasai 9 nafsu?
Andai engkau mengasihinya kranaNya,
Engkau tidakkan bisa menyentuhnya
Walaupun yang ringan-ringan,
Kerana engkau tahu,
Itu sudah MENGHAMPIRI ZINA!
Dan engkau tahu bukan ?
Zina tempatnya di api yang menjunam?
Apakah engkau benar mengasihinya,
Andai kau relakan dia terjun ke NERAKANYA?

Sahabatku an-nisa
Sahabatku arrijal
Aku mengasihimu LILLAH,
Lantaran itu,
Dengarlah sedikit pesan ikhlas ku LILLAH,
Manusia mana yang mampu hidup tanpa cinta?
Bercinta tak salah,
Tetapi letakkan cintamu kepadaNya yang hakiki,
Dan engkau kan merasa cinta manusia ..
Sedikit cuma..
Andai Dia yang engkau dahului,
Engkau takkan gelisah,
Andai dia tidak mengirim sebarang sms,
Andai suaranya tidak didengar walau teknologi di
depan mata,
Engkau tidakkan rindu,
Andai sehari tidak besua,
Engkau tidakkan kecewa andai dia terlupa
mengatakan I love you.
Kerana engkau percaya..
DIA yang terbaik..

Lantaran DIA yang terbaik
DIA akan menentukan yang terbaik untukmu,
Dan andai dia yang terbaik untukmu,
DIA akan satukan juga hatimu dengan hatinya..
Dan itulah sahaja melalui PERNIKAHAN
Dan itulah yang terbaik buat kalian
Kalau ada jodoh tak ke mana..
Yakinlah!
Apakah benar engkau meyakini takdirNya?

Maafkan aku teman,
Bicaraku penuh ketegasan,
Aku tidak membencimu,
Tetapi aku membencimu mungkar itu,
Dan kerana aku takutkan api yang menjunam itu,
Aku menegur yang mana mampu,
Kerana aku takut,
Andai aku tidak menegurmu,
Kita kan sama-sama meredah lautan api,,,
yang terlalu pedih, yang terlalu seksa, yang terlalu AZAB!!!
Nauzubillah min zalik

Sama2lah teman
Pagarilah imanmu
Agar si iman itu tidak terlepas
Cintailah IA,
Kerana DIAlah penjaga iman kita..
Yakinlah dengan IA..
Serahkan segalanya pada IA..
Kerana DIA tahu yang terbaik
Sedangkan kita tidak.
ALLAHualam.
Akhirul kalam
Letakkan si DIA dalam hatimu,
Engkau akan merinduiNYA
Andai harimu tiada ingatan kpdNYA
Engkau akan gelisah andai DIA
Tidak mendengar rintihanMu,
Engkau kan rindu
Andai DIA tidak memandangmu,
Engkau kan tak keruan andai
Doamu ditolak..
Dan itulah cinta hakiki..
Kerana engkau yakin
Di sana adanya sebuah
Pertemuan di taman Syurga yang Indah..
Bercintalah kerana ALLAH..
Dan Engkau akan merasakan
Erti bercinta yang sebenar
Insya ALLAH!!

source: from my favorites groups