Nik Abdul Aziz Nik Mat: Tiada Islam tanpa tasawwuf

Thursday, 01 June 2006

Mengatur wawancara dengan Tok Guru tidaklah sesukar seperti yang disangka,
apatah lagi dengan bantuan baik Annual Bakri Haron, setiausaha politiknya.
Temujanji yang ditentukan pada 5 Mei 2005 telah berjalan seperti yang dirancang.
Memang, PAS sememangnya beruntung kerana memiliki Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik
Mat, sosok yang dapat mengimbangi keghairahan budaya politik kepartaian. Ini
ekoran, PAS akhir-akhir ini kelihatan yang begitu ketara sekali menekankan soal
menegakkan shariat, hingga mengabaikan soal tasawwuf dll. Justeru, wawancara
Ummahonline Team ini adalah merupakan reaksi langsung kepada perkembangan
mutakhir dalam PAS:-

Sebelum ini, Tok Guru pernah menyebut bahawa aktivis PAS sewajarnya
lebih banyak bercakap pasal Islam dari pasal PAS. Mengapa Tok Guru berkata
demikian?

Pertama sekalinya, Islam yang secara komprehensif (syumul) ini baru saja
dalam masyarakat Malaysia. Ia baru bermula sejak tubuhnya PAS. Sebelum ada PAS
pada tahun 1951, orang anggap Islam itu tidak lebih dari sembahyang dan puasa
sahaja. Sejak mari PAS, PAS tolong syarah ayat “…sesungguhnya shalatku, hidupku,
matiku adalah kerana Allah SWT”. Ayat ini menerangkan kepada kita bahawa Islam
itu bukannya sembahyang dan puasa sahaja, tetapi mencakupi segala aspek
kehidupan. Maka oleh yang demikian, masih ramai generasi-generasi hari ini yang
masih berbau dengan fikiran lama, serta baru beralih kepada fikiran baru. Maka
kita sikit-sikit sebut PAS, sikit-sikit sebut PAS. Ini kerana orang Melayu baru
kenal sistem parti, maka sudah tentunlah mereka lebih suka bercakap mengenai
parti. Saya bimbang, takut lama-lama cakap pasal parti ini sehingga kita lupakan
Islam. Maka saya kata, tolonglah berhati-hati sikit, kerana PAS ini parti yang
baru tubuh tahun 1951. Islam ini dah mari jauh lebih lama semenjak dulu lagi;
sejak dari zaman nabi-nabi sampailah ke zaman Nabi Muhammad hinggalah kepada
kita. Maka perlulah kita insaf dan sedar, janganlah banyak cakap pasal PAS
tetapi sebutlah ekonomi Islam, sosial Islam, budaya Islam, aqidah Islam,
pemerintahan Islam, politik Islam, mudah-mudahan dengan kaedah macam ini kita
menepati perjuangan kita dan dikurniakan pahala oleh Allah SWT.

Sebelum ini juga Tok Guru kerapkali mengesa supaya aktivis PAS rajin
membaca buku. Adakah Tok Guru bersetuju, sekiranya aktivis-aktivis PAS mestilah
juga serius dalam menelaah buku-buku pemikiran barat sebagai usaha untuk
memperkuatkan agama kita?

Saya sendiri telah terdedah dengan pembacaan buku ini semenjak saya di India.
Tahun 1952 semasa saya bertolak ke sana, budaya membaca di kalangan kita ketika
itu langsung tidak ada, hanya membaca kitab-kitab tertentu. Tetapi bila saya
pergi India, maka saya tengok ada dua perkara baru bagi saya. Pertama, selepas
sembahyang asar, para pelajar di tempat saya menuntut keluar beramai-ramai, saya
pun hairan dan bertanya, apa keluar beramai-ramai ini? Rupanya mereka pergi
membaca yang mana budaya itu masih tidak ada lagi di tempat-tempat pengajian
agama di Kelantan khasnya atau di Malaysia. Kalau kita pergi ke perpustakaan di
tempat saya belajar itu, semua sudut penuh dengan manusia yang sedang membaca.
Dalam perpustakaan dihidangkan dengan bermacam-macam buku dalam segala displin
ilmu. Mula dari situlah saya mula tertarik sama untuk terus membaca buku. Dan
bila saya sampai di Azbakiyyah di Mesir, AlhamdulilLah, di sana ada jual buku
second-hand dengan harga yang sangat-sangat murah. Maka saya rebut peluang ini.
Hasil dari pengalaman budaya membaca di India, akhirnya terbawa-bawa ke Mesir.
Maka di sana saya baca apa sahaja buku. AlhamdulilLah, bahasa Arab adalah bahasa
yang penuh tepu dengan bermacam-macam ilmu akademik termasuklah buku-buku
mengenai sains atom. Saya boleh bercakap mengenai atom dengan menggunakan
pembacaan luar dari pengajian formal saya. Jadi oleh yang demikan, saya
sangat-sangat kecil hati dengan masyarakat Malaysia yang tidak suka membaca,
sedangkan ayat pertama yang turun dari langit bukannya ayat mengenai sembahyang,
bukannya mengenai puasa, tetapi mengenai iqra’ (bacalah olehmu). Baca merupakan
perkataan pertama yang turun dari langit mencecah bumi. Maka kerana apa
masyarakat jadi begini? Bagi saya, inilah punca kerana masyarakat di ajar Islam
lain politik lain, yang dibawa oleh penjajah Inggeris bagi memperbodohkan orang
Islam. Sekarang ini kita hidupkan semula di mana agama dan politik mesti disatu
dan diselaraskan. Maka membaca adalah mustahak! Bacalah apa saja buku, tetapi
dukacitanya pula, kita kini dihidangkan pula dengan banyak buku-buku yang tak
berguna yang dijual di jalanan. Manakala kalau ada majalah-malajah ilmiah, ia
tidak laris. Jadi, inilah tanda pemikiran orang kita masih jauh tertinggal ke
belakang.

Kita perluaskan sedikit kepada isu global. Konflik Iraq khasnya, apa
pandangan Tok Guru mengenai pendekatan Ayatollah Sistani yang di lihat mengambil
pendekatan ‘berkerjasama’ dengan Amerika? Maksudnya, Sistani sebagai pemimpin
masyarakat Iraq tidak menyeru kepada serangan bersenjata ke atas tentera
penceroboh.

Berita yang sampai kepada kita adalah melalui dua saluran utama; iaitu
melalui CNN dan melalui Al-Jazeera. Di antara berita yang disampaikan oleh
Al-Jazeera dengan CNN tentulah ada kelainan. Betul ke tidak Sistani ini memberi
kerjasama pada penjajah. Itu saya tidak yakin, sebab Sistani ini orang shiah.
Dan, orang shiah ini boleh dikatakan berbeza dengan ahl sunnah dari segi
pendekatan ekstrim dan tidak ekstrimnya. Saya guna ekstrim ini tak betul
sebenarnya, mungkin lebih tepat lagi merujuk kepada sudut penggunaan senjata.
Orang shiah ini memang tidak keberatan menggunakan senjata, Sistani ini orang
shiah, jadi bagaimana orang shiah boleh sokong Amerika? Sedangkan shiah yang
bertapak di Iran, sampai sekarang pun Iran tidak ada hubungan diplomatik dengan
Amerika semenjak rakyat mereka menawan kedutaan Amerika selama 444 hari. Jadi
bila shiah yang bertapak di Iran melawan Amerika, bagaimana kita nak fikir yang
Sistani ini menyokong Amerika? Saya berasa ragu kerana berita yang sampai pada
kita barangkali ada penyelewengannya. Usahkan di Iraq, di Malaysia sendiri kalau
berita mengenai PAS ini diputar-belitkan. Jadi, saya tidak percaya dengan
CNN!

Sebentar tadi Tok Guru ada menyentuh mengenai perbezaan pendekatan
antara ahl sunnah dan shiah. Pada hemat Tok Guru, bolehkah suatu hari nanti
semua aliran ummat Islam kembali bersatu seumpama ketika zaman Rasulullah SAW?

Cerita pendekatan antara ahl sunnah dan shiah ini telahpun diusahakan oleh
Imam Muhammad Abduh pada awal kurun yang lalu. Dan ada majalah yang tertentu
seperti majalah at-Taqrib. Dan mengikut sumber yang saya percayai,
sewaktu zaman Khomeini, telah banyak perkara-perkara yang menjadi perbalahan
telah diketepikannya. Misalnya, sebelum Khomeini muncul, orang Iran yang pergi
ke Makkah mereka tidak bersembahyang dibelakang Imam orang sunni, tetapi bila
mari datang Khomeini, dia minta orang shiah sembahyang di belakang Imam Masjidil
Haram. Ini satu pendekatan yang penting. Begitu juga masalah sujud sembahyang.
Zaman dulu, orang shiah sembahyang atas sekeping tanah yang katanya di ambil
dari Karbala, Iraq. Tetapi sekarang, ini ia semakin kurang dan semakin kurang.
Ini perubahan yang tetap berlaku. Jadi, Insha’Allah, suatu masa nanti akan
berlaku perdekatan bersama. Lebih lagi Amerika kini menjadi musuh bersama, maka
mulailah kini wujud kerjasama seperti hubungan di antara Iran dan Arab Saudi
yang suatu ketika dahulu begitu sekali genting. Kita berdoa kepada Allah SWT,
mohon segala kumpulan Islam bersatu kerana kita berdepan dengan musuh bersama
iaitu zionis, Israel dan Amerika.

Sebentar tadi juga Tok Guru ada bercakap mengenai Ruhollah Khomeini.
Jadi, kalau tidak keberatan, bolehkah Tok Guru berkongsi sedikit pandangan
peribadi Tok Guru terhadap keperibadian, kepimpinan dan perjuangan beliau?

Saya kenal Khomeini hanya melalui pembacaan. Tetapi yang saya tertarik dengan
beliau ialah meskipun dalam keadaan beliau berjubah, berserban dan berjanggut,
beliau masih dapat masuk ke dalam medan politik dengan meninggalkan begitu
banyak sekali kesannya; sampai ke peringkat bila dia balik dari buangan - ranap
kerajaan yang dibentuk sebelum itu. Ranap semuanya itu kerana pengaruh yang ada
padanya. Inilah yang saya tertarik dengan Khomeini. Lagi satu, bila beliau
menang dan membentuk kerajaan, beliau tidak masuk campur pun dalam kuasa
eksekutif, tetapi tugas itu beliau serahkan kepada budak-budak beliau. Inilah
satu sejarah yang akan dikenang.

Baiklah, boleh Tok Guru berikan gambaran bagaimana kehidupan wanita
yang ideal dalam Islam?

Yang saya naknya, kalau boleh seorang wanita menjaga anak-anak, kerana inilah
perkara pertama yang Allah SWT ciptakan wanita. Ini kerana, bila seorang suami
seawal pagi telah pergi berkerja, maka anak-anak akan berada di atas riba ibu.
Maka ibulah yang membentuk sahsiah anak kita. Dan, Nabi Muhammad SAW bersabda,
tiap-tiap seorang bayi sewaktu dilahirkan adalah dalam keadaan bersih. Jadi,
ibubapalah yang menjaga peribadi dan jasmani anaknya. Bapa terpaksalah keluar
rumah mencari harta, dan kita dipesan oleh Islam bahawa harta yang kamu cari
mestilah halal kerana barang halal ada khasiatnya. Begitu juga barang haram, ada
khaisatnya juga. Contohnya seperti garam dan gula, masing-masing ada khasiatnya
secara material. Dalam Islam, selain dari masalah material, ada lagi perkara
yang disebut moral. Harta haram walau bagaimana enak sekalipun, ada khasiatnya
iaitu mengeraskan qalbu (hati) manusia, menjauhkan manusia dari iman dan
mendekatkan manusia kepada kufr. Jadi oleh yang demikan, ibu yang ada di rumah
hendaklah jaga anak-anaknya, sebab anak akan kenal ibu lebih dari dia kenal
bapa. Ini kerana percakapan ibulah yang banyak didengari oleh anak-anak. Anak
melayu dia boleh bercakap melayu kerana ibu. Tetapi kalau anak melayu duduk di
atas pangkuan ibu yang cina, maka di akan tahu bahasa cina lebih dari bahasa
melayu. Ini kerana bahasa adalah suatu perkara yang tidak boleh dipusakai. Jadi
oleh yang demikian, seorang ibu yang mustahak ialah jaga anak dan kalau boleh
sebagaimana cerita-cerita orang sufi, waktu seorang ibu nak beri susu dada pada
anak, kalau boleh dia hendaklah ambil wudhu’ duhulu kemudian di susuli pula
dengan lafaz bismillah. Insha’Allah, anak ini akan menunaikan kehendak
ibunya, kerana kerberkatan perbuatan ibunya tersebut.Akhirnya dengan ini, maka
jadilah dia benar-benar ibu yang sejati.

Menariknya, Tok Guru sebelum ini ada mencadangkan muslimat sebagai
Naib Presiden PAS. Menurut pandangan Islam Tok Guru, bolehkah seorang wanita
turut menjadi pemimpin tertinggi sehingga ke tahap Perdana Menteri ataupun
presiden parti?

Mula-mula sekali, masyarakat PAS baru mengenali muslimat dalam memimpin parti
dan negeri. Ini kita baru lagi terdedah walaupun dalam satu kisah mashyur Islam,
Siti Aisyah r.a memimpin negara sebagaimana juga orang laki-laki. Yang keduanya,
boleh ke tidak wanita memimpin perkara-perkara eksekutif ini. Perkara ini ulama
khilaf. Saya sampai sekarang masih lagi berpihak pada pandangan yang mengatakan
tidak perlu bagi wanita menduduki jawatan eksekutif tertinggi. Bahkan, barat
sendiri yang begitu sekali lantang bercakap soal kesamarataan lelaki dan wanita,
pun beberapa orang sahaja yang memegang jawatan eksekutif tertinggi. Ada
Margaret Thatcher di Britian, Meir di Israel, manakala kalau di India pula Indra
Ghandi. Jumlah ini boleh dibilang dengan jari berbanding dengan jumlah lelaki
untuk jawatan yang sama. Jadi nampak sangat, perempuan kalau boleh tak usah
fikirlah masalah merebut eksekutif tertinggi. Sebab Islam sendiripun yang
menjadi Imam adalah lelaki, dia tidak beri Imam pada wanita. Satu perkara lagi,
keadaan fizikal wanita sudah sengaja Allah SWT lengkapkapnya dengan rahim dan
labu susu. Dan tabiat perempuan yang saya baca dari nasihat-nasihat polis,
kerana kalau pemandu motokar itu wanita maka apabila dia berhadapan dengan
masalah ketika memandu, maka dia akan lepaskan stereng motokar dan lantas dia
akan memeluk dadanya sendiri. Ini perkara biasa bagi wanita kerana tabiat wanita
ini dia ada dukung anak, dakap anak, dan kesayanganya pada anak terbawa-bawa
meskipun dia pegang motokar. Jadi, emosi dan fizikal wanita lain benar dengan
lelaki. Kalau ada juga, wanita itu menjadi juruterbang dll, itu kerana di latih
bukannya kerana semulajadi.

Pada Tok Guru, sejauh mana kepentingan tasawwuf dalam perjuangan
Islam?

Tidak ada tasawuf, maka tidak ada Islam. Islam adalah menjaga tubuh. Oleh
kerana tubuh manusia ini ada ruh; maka Islam yang menjaga tubuh, manakala iman
pula menjaga ruh. Iman yang kita sebut ini juga di istilahkan juga sebagai
tasawuf. Tasawuf menguasai rohani, manakala fiqh menguasai fizikal. Pelakuan
fizikal dalam sembahyang kita adalah urusan fiqh, jadi samada ia khusyuk atau
tidak itu ia adalah urusan tasawuf. Maka tidak boleh sekali-kali Islam berpisah
daripada tasawuf. Oleh yang demikian, tasawuf adalah amat penting serta menjadi
komponen bagi Islam itu sendiri. Kerana aspek keikhlasan adalah kerja tasawuf,
bukannya kerja fiqh.

Bagaimana pula Tok Guru melihat hubungan antara agama dan akal?
Adakah agama kita boleh bercanggah dengan akal?

Agama tidak boleh bercanggah dengan akal! Sebab itulah agama menunggu
seseorang budak aqil baligh. Kalau belum aqil baligh, Islam tidak akan peduli
terhadap sebarang perbuatannya. Budak itu tidak berdosa, cuma yang berdosa
adalah ibubapanya. Ibubapalah yang bertanggungjawab sebab tidak didik anaknya
dengan sempurna. Jadi oleh yang demikian, akal sangat mustahak! Sebab itulah
selepas manusia aqil baligh, dia sudah mempunyai tanggungjawab terhadap setiap
perbuatannya. Sebab itu juga Islam haramkan judi. Salah satu sebab Islam
mengharamkan judi ialah kerana judi tidak masuk akal. Orang cerdik boleh jadi
kalah judi, manakala orang buta huruf boleh jadi menang judi. Ini kerana judi
adalah satu cara cari duit yang luar daripada sistem persekolahan di mana ia
hanya bergantung pada nasib semata-mata. Sebaliknya dalam sistem persekolahan,
kita diajar bagaimana nak mengunakan akal seperti bagaimana mengurus perniagaan
dll. Inilah sebenarnya cara manusiawi - yang mengunakan akal kurniaan Allah SWT.
Begitu juga Islam haramkan arak kerana ia boleh mematikan akal dan
memperbodohkan manusia. Sebab itulah akal sangat mustahak dalam kerja-kerja
agama ini.

Soalan terakhir, boleh Tok Guru tinggalkan sedikit pesanan untuk
anak-anak muda kita?

Anak-anak muda adalah pelapis bagi ibubapa yang sudah menjengah usia tua. Dan
anak muda sendiri pun sedang menuju ke zaman tua. Oleh yang demikian, selain
kita berfikir tentang masalah akhirat, kita juga mesti berfikir masalah tua.
Kalau setiap manusia berfikir tentang masalah tua, maka masalah akhirat
selamatlah dia. Jadi muslim khasnya, perlulah berfikir mengenai masalah
masadepan; maksud masadepan ini bukannya masalah tua sahaja, tetapi ia turut
merujuk kepada padang mashyar. Apa sahaja yang berlaku di atas dunia ini - mahu
tidak mahu - kesannya di akhirat nanti. Dunia ini merupakan Photostat
saja bagi akhirat. Kita kena tahu, hidup kita atas dunia ini ada malaikat. Kerja
malaikat ini ialah ambil gambar kita, catat kehidupan kita dll untuk ditayang
semula di padang mashyar sebagai saksi. Ini perkara yang tidak dapat manusia nak
ubah. PBB sendiri pun tidak boleh membuat keputusan untuk mengubah akhirat. Jadi
oleh yang demikian, setiap anak-anak perlu disemai dengan akhirat. Dan Islam
mengajar kita setiap kali kita sembahyang, maka wajib kita baca fatehah, kerana
dalam fatehah kita menyebut, “…engkaulah yang menguasai hari pembalasan”. Ini
menunjukkan, di hari akhirat kelak hanya Allah SWT sahaja yang berkuasa.
Kerajaan Kelantan tidak ada pada masa akhirat kelak, kerajaan Malaysia juga
tidak ada di akhirat kelak, begitu juga dengan kerajaan Amerika. Ketika itu yang
ada hanyalah kerajaan Tuhan. Jadi apabila di akhirat kelak hanya ada satu
kerajaan sahaja, maka segala-gala apa yang ada di dunia ini mestilah dijuruskan
kepada akhirat. Maka dengan sendirinya kita tidak akan melakukan kezaliman,
kejahatan dan penindasan sebab setiap perbuatan kita akan menjadi saksi di
akhirat kelak. Inilah benda yang mesti kita semat dalam kehidupan kita. Dan saya
juga rasa sangat dukacitalah pada orang yang mengatakan agama lain politik lain.
Ini benar-benar perkara yang meracun. Keluarnya berita Datuk Seri Lim Keng Yeik
yang mahu pisahkan agama dari sekolah adalah berpunca dari fikiran orang yang
mengatakan agama lain politik lain. Buat apa mengajar agama di sekolah? Kita
ajar anak-anak mengenai matematik, sains dll di sekolah kerana ia perkara yang
terlibat dengan hidup. Tetapi bila kita kata agama lain dengan politik, jadi
buat apa lagi kita mahu mengajar agama di sekolah? Betul apa yang dikatakan oleh
Lim Keng Yeik! Logik apa yang disebut oleh Lim Keng Yeik kerana Umno yang
membuka jalan sehingga Keng Yeik boleh bercakap begitu. Lim Keng Yeik selama ini
dengar Umno bercakap agama lain politik lain, jadi kalau begitu maka sudah tentu
dia fikir buat apa mengajar agama di sekolah? Buat menyusah sahaja! Jadi
betullah cakap Lim Keng Yeik, dan salah bagi Umno.



No Comment

No comments yet

Leave a Reply